Trump Ugut Kenakan “Caj Lebih” Terhadap Korea Selatan Jika Tolak Projek LNG Alaska

WASHINGTON, 3 Okt — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengugut untuk mengenakan “caj” lebih tinggi ke atas Korea Selatan jika negara itu tidak bersetuju untuk melabur dalam projek gas asli cecair (LNG) di Alaska, lapor Agensi Berita Yonhap.

Trump sebelum ini mendakwa Korea Selatan akan menyertai pelaburan itu.

Kenyataan itu dibuat semasa sidang media di Rumah Putih, dua hari selepas beliau mendedahkan pakej pertama projek pelaburan AS di Korea Selatan di bawah perjanjian perdagangan dua hala tahun lepas, yang menurutnya terdiri daripada projek LNG, pembinaan loji jana kuasa gas di Texas dan lapan loji tenaga nuklear berskala besar.

Mengenai projek LNG, Seoul telah menyatakan bahawa ia belum memuktamadkan keputusan untuk mengambil bahagian.

Masih tidak jelas apakan “caj” yang dimaksudkan oleh Trump.

Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick sebelum ini berkata Korea Selatan akan melabur lebih US$50 bilion dalam projek Alaska.

Projek LNG itu melibatkan pembinaan saluran paip sepanjang 1,298 kilometer dari North Slope, yang mempunyai rizab gas asli terbukti besar-besaran, ke selatan Alaska untuk mengangkut gas asli itu yang akan disejukkan ke dalam bentuk cecair untuk penghantaran ke Asia.