Perkhidmatan Aerotrain KLIA Dihentikan Sementara Untuk Kemas Kini Perisian Berjadual

SEPANG, 7 Okt — Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara di luar waktu puncak dari tengah malam hingga 5 pagi bermula esok, bagi membolehkan kerja-kerja mengemas kini perisian berjadual dilakukan.

Proses itu yang melibatkan dua fasa, bertujuan memperkukuh keteguhan operasi sistem dan menyokong prestasi jangka panjang, dilaksanakan susulan Aerotrain telah berjaya mencatat 20,000 jam operasi secara berterusan.

Ketua Pegawai Operasi KLIA Adam Nicholas Wilson dalam kenyataan berkata sejak Pelan Tindakan Komprehensif diselesaikan pada Jun 2026, sistem Aerotrain telah mengekalkan kadar ketersediaan sebanyak 99.9 peratus.

“Sepanjang tempoh 1.5 tahun yang lepas, tren itu telah melengkapkan 167,481 perjalanan pergi–balik dan membawa kira-kira 23.55 juta penumpang,” katanya hari ini.

Fasa pertama, iaitu Ujian Lapangan yang bermula dari 8 hingga 17 Okt ini akan melibatkan pemasangan dan pengujian kemas kini perisian di bawah keadaan operasi sebenar untuk mengesahkan prestasi dan fungsinya.

Ujian Lapangan dan penilaian keselamatan bebas menyediakan lapisan pengesahan tambahan sebelum perisian yang dikemas kini dilaksanakan secara kekal.

Keputusan itu kemudian akan melalui penilaian keselamatan bebas yang menyeluruh.

Tertakluk pada penilaian tersebut, kemas kini akan diteruskan ke fasa Roll Out dari 28 Nov hingga 1 Dis, apabila sistem itu dilaksanakan secara kekal pada sistem Aerotrain.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran penumpang antara Terminal Utama dengan Bangunan Satelit, beliau berkata perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut sebagai sebahagian daripada pelan kontingensi operasi lapangan terbang berkenaan.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan Aerotrain terus menyediakan perkhidmatan yang diyakini dan lancar untuk penumpang di KLIA.

“Aktiviti yang dirancang seperti kemas kini perisian ialah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengekalkan tahap prestasi dan menyokong kebolehpercayaan sistem bagi jangka masa panjang,” katanya.

Semasa waktu kejuruteraan tersebut, penumpang dinasihatkan untuk mengikut papan tanda yang disediakan untuk menuju ke ruang menunggu bas dan mendapatkan bantuan daripada petugas lapangan KLIA.