JAKARTA, 7 Okt — Mahkamah Perlembagaan Indonesia tidak menemukan bukti meyakinkan bahawa Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka memiliki kelayakan dari luar negara yang menunjukkan beliau telah menamatkan sekolah menengah atas atau yang setaraf dengannya.
Bagaimanapun menurut mahkamah itu, pihaknya tidak boleh membatalkan pemilihan mahupun melucutkan kelayakan Gibran daripada jawatan naib presiden.
Dalam satu kenyataan mengenai keputusan pada Selasa berhubung petisyen yang mempertikaikan keputusan pilihan raya presiden 2024 dan tahap pendidikan Gibran, mahkamah memetik Hakim Perlembagaan Adies Kadir sebagai berkata kes itu tidak lagi boleh diselesaikan secara substantif sebagai pertikaian keputusan pilihan raya tersebut kerana Gibran bukan lagi calon.
“Statusnya sebagai calon berakhir apabila tiket yang dipilih dirasmikan dan mengangkat sumpah sebagai naib presiden pada 20 Okt 2024, yang juga menandakan berakhirnya peringkat pilihan raya presiden 2024,” kata mahkamah.
Ketua Hakim Negara Suhartoyo mengisytiharkan petisyen itu tidak boleh diterima selepas mahkamah mendapati pempetisyen tidak mempunyai kedudukan undang-undang, kerana pertikaian keputusan pilihan raya presiden hanya boleh dibawa oleh pasangan calon presiden dan naib presiden.
Kesemua sembilan hakim yang bersidang sebulat suara menyokong keputusan itu.
Petisyen itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemantauan Pilihan Raya Bebas (KIPP), Parti Ummat, pakar undang-undang perlembagaan Denny Indrayana dan enam individu, yang berhujah bahawa Gibran, anak bekas presiden Joko Widodo, tidak memenuhi syarat pendidikan untuk calon naib presiden pada pilihan raya 2024.
Sementara itu, Hakim Perlembagaan Arsul Sani berkata keterangan Ketua Pengarah Pendidikan Rendah dan Menengah menunjukkan tiada diploma, sijil atau ijazah telah dikemukakan untuk menyokong sijil kesetaraan pendidikan luar negara Gibran.
Sebaliknya, dokumen sokongan terdiri daripada sijil kehadiran, rekod akademik dan penjelasan gred, yang dianggap oleh mahkamah sebagai bukti kehadiran dan bukannya pengijazahan atau tamat pengajian.
Hakim Perlembagaan Enny Nurbaningsih berkata mahkamah mempunyai kuasa rasmi untuk memeriksa dan memutuskan kes itu kerana petisyen berkenaan bertujuan untuk membatalkan Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum No. 360 Tahun 2024 mengenai keputusan pilihan raya presiden.
“Di bawah prinsip ini, mahkamah bertanggungjawab untuk mencari kebenaran material dan bukannya melepaskan tanggungjawabnya atas alasan tiada sempadan bidang kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan mengenai institusi mana yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan pertikaian mengenai keputusan pilihan raya presiden dan naib presiden selepas pelantikan calon yang dipilih,” katanya.













Tinggalkan Balasan