ANKARA, 7 Okt — Lionel Messi menyifatkan mewakili Argentina sebagai “perkara terbaik yang pernah berlaku” dalam hidupnya ketika mengucapkan selamat tinggal dengan penuh emosi kepada skuad kebangsaan selepas penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Berucap di Stadium Monumental yang dipenuhi penonton selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 Argentina ke atas Benin pada aksi persahabatan, Messi kelihatan sukar menahan emosinya apabila mengenang kembali tempoh lebih dua dekad menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Sangat sukar untuk memperkatakan apa-apa hari ini. Terlalu banyak emosi. Perkara pertama yang saya fikirkan ialah bapa saya,” kata Messi pada awal ucapannya.
Pemain berusia 39 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang terus memberikan sokongan sepanjang kariernya yang menyaksikan beliau melalui kekalahan menyakitkan sebelum akhirnya memimpin Argentina meraih kejuaraan Copa America dan Piala Dunia FIFA.
“Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan selain mengucapkan terima kasih,” katanya.
“Walaupun pada saat paling sukar, saya tidak pernah berhenti berjuang, berusaha atau memberikan segala-galanya.
“Beraksi untuk skuad kebangsaan Argentina adalah perkara paling indah yang boleh berlaku kepada anda. Ia perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya.
Messi turut merakamkan penghargaan kepada barisan rakan sepasukan daripada beberapa generasi yang bersamanya sepanjang karier antarabangsa, sambil berkata mereka sentiasa memberikan segala-galanya demi pasukan.
“Kami adalah satu pasukan yang luar biasa, dan itulah sebabnya kami berjaya mencapai segala kejayaan tersebut,” katanya.
Messi turut mengulas kekalahan Argentina kepada Sepanyol pada final Piala Dunia 2026, sekali gus menepis spekulasi kononnya sesuatu yang luar biasa berlaku sepanjang kejohanan itu.
“Piala Dunia terakhir itu sudah melebihi apa yang pernah saya harapkan untuk alami. Kami mempunyai impian untuk menjadi juara dunia sekali lagi. Kami hampir mencapainya. Tiada apa-apa yang pelik berlaku, walaupun orang ramai berkata sebaliknya,” katanya.
Messi berkata aksi separuh akhir Argentina menentang England memberikan kesan besar dari segi fizikal dan emosi, namun menegaskan rakan sepasukannya telah memberikan segala-galanya di atas padang.
Penyerang itu berkata meninggalkan skuad kebangsaan membuatkannya berasa amat sedih, namun selepas ini beliau akan memberikan sokongan kepada Argentina dari tempat duduk penonton.
“Saya mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan. Saya akan merindui anda semua dan saya akan merinduinya, tetapi kini tiba giliran saya untuk berada di pihak yang satu lagi,” katanya.
Beliau turut menggesa penyokong supaya terus bersatu memberikan sokongan kepada generasi seterusnya, sambil mengingatkan bahawa tempoh peralihan mungkin membawa detik-detik sukar dan kritikan baharu.
“Akan ada pihak yang bercakap buruk mengenai skuad kebangsaan dan kita perlu mempertahankannya. Sentiasalah bersatu,” katanya.
Messi membuat penampilan sulung bersama skuad senior Argentina ketika menentang Hungary di Budapest pada Ogos 2005. Beliau turut menjaringkan gol dalam penampilan terakhirnya ketika Argentina menewaskan Benin menerusi jaringan separuh masa kedua oleh Nicolas Otamendi, Nicolas Paz dan Messi.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada penyokong, Messi mengakui beliau berucap panjang kerana tidak mahu detik perpisahan itu berakhir.













Tinggalkan Balasan