Perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru Diteruskan Bagi Tempoh Lima Tahun – Loke

JOHOR BAHRU, 8 Okt — Kerajaan bersetuju meneruskan perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru menerusi Program Stage Bus Services Transformation (SBST) bagi tempoh lima tahun bermula 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelanjutan itu melibatkan penambahbaikan dan pengembangan rangkaian perkhidmatan termasuk pertambahan laluan serta kapasiti bas.

Beliau berkata pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat berdasarkan keperluan operasi dan permintaan pengguna.

“Kontrak akan dimuktamadkan dalam masa terdekat (termasuk) melibatkan penambahan 230 bas baharu dan beberapa syarat lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perluasan Perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru di sini hari ini.

Loke berkata seiring pelanjutan itu, laluan perkhidmatan turut dirancang untuk diperluas ke kawasan pembangunan baharu dan kawasan tumpuan yang mempunyai permintaan tinggi.

Kawasan  itu termasuk Terminal Tiram, Johor Jaya, Eco Tropics, Mall of Medini dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pertambahan bas pula akan menjadikan kekerapan bagi laluan utama disasarkan antara 15 hingga 20 minit manakala laluan pengantara antara 20 hingga 30 minit. 

“Sebanyak 20 bay (petak bas) yang lebih tersusun (akan ditambah di Jalan Jim Quee berdekatan JB Sentral) supaya bas boleh diparkir dengan selamat dan penumpang boleh naik turun bas dengan cepat,” katanya.

 Loke berkata perkhidmatan bas henti-henti di bawah SBST itu diperkenalkan pada 2022 dan terus menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata ketika ini perkhidmatan BAS.MY Johor Bahru meliputi jarak operasi sekitar 16 juta kilometer setahun dengan purata hampir satu juta penumpang sebulan.

Beliau berkata jumlah trip penumpang meningkat daripada 450,000 sebulan pada Disember 2022 kepada 1.06 juta pada Disember 2025, sebelum mencatat paras tertinggi sebanyak 1.28 juta trip pada Januari tahun ini.

“Melalui peluasan kawasan liputan perkhidmatan, jumlah penumpang disasarkan mencecah 14.99 juta orang setahun,” katanya.

Loke berkata, peluasan BAS.MY Johor Bahru antara komponen penting dalam persediaan penyuraian penumpang bagi menyokong operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Februari tahun depan.

Beliau berkata rangkaian pengangkutan awam perlu diperkukuh bagi memastikan kesinambungan dan kelancaran aliran penumpang.