Singapura Peroleh Lebih S$639,000 Dalam Saman Tertunggak 265 Pemandu Asing

SINGAPURA, 8 Okt — Pihak berkuasa Singapura memperoleh semula lebih S$639,000 (S$1=RM3.19) dalam saman tertunggak daripada 265 pemandu asing semasa operasi pelbagai agensi dari 28 hingga 30 Sept 2026.

Operasi itu diketuai Polis Trafik (TP) dan dibantu oleh pegawai daripada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar.

Menurut satu kenyataan bersama, pihak berkuasa menghalang pemandu asing dengan denda tertunggak dan mengarahkan mereka menyelesaikan denda bagi kesalahan kenderaan dan lalu lintas apabila memasuki Singapura di pusat pemeriksaan darat.

“Singapura memandang serius pemandu asing yang melakukan kesalahan di Singapura dan tidak menyelesaikan denda mereka.

“Pihak berkuasa Singapura kerap menjalankan operasi terhadap pemandu seperti itu, dan mereka yang mempunyai denda tertunggak untuk kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta, atau pelepasan kenderaan mungkin dinafikan kemasukan ke Singapura,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Ia turut menekankan bahawa semua kenderaan berdaftar asing dikehendaki memiliki Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah untuk memasuki Singapura.

Mulai 2 Nov 2026, kenderaan berdaftar asing dengan denda tertunggak untuk kesalahan lalu lintas, tempat letak kereta atau pelepasan kenderaan tidak boleh memohon atau memperbaharui VEP mereka dengan LTA.