KATHMANDU, 11 Okt — Banjir besar di lembangan Sungai Budhi Gandaki pada Ahad menjejaskan sekurang-kurangnya empat projek hidroelektrik di daerah Gorkha, tengah Nepal, menurut Persatuan Pengeluar Kuasa Bebas Nepal (IPPAN), lapor Xinhua.
Menurut penilaian awal yang dikongsi oleh IPPAN, persatuan pemaju tenaga sektor swasta di Nepal, empat projek hidroelektrik di sepanjang Sungai Budhi Gandaki dan beberapa anak sungainya terjejas.
Projek Hidroelektrik Budhi Gandaki mengalami kerosakan apabila kem utamanya dihanyutkan arus banjir, menurut IPPAN. Beberapa peralatan pembinaan turut dihanyutkan.
Sementara itu, Projek Hidroelektrik Dobhan Khola mengalami kerosakan pada beberapa rumah di kawasan kemnya manakala sebuah jambatan Bailey yang digunakan untuk kerja pembinaan di tapak projek turut dihanyutkan, menurut persatuan itu.
Sebuah jambatan Bailey yang menyokong kerja pembinaan di Projek Hidroelektrik Yaru Khola turut mengalami kerosakan, manakala bahan binaan dan peralatan dihanyutkan air.
Projek Hidroelektrik Machha Khola pula mengalami kerosakan pada jalan akses dan jambatan yang menghubungkan tapak projek, menurut penilaian berkenaan.
Nepal mengalami beberapa kejadian banjir akibat tanah runtuh sepanjang sebulan lalu, susulan banjir besar pada 26 Ogos. Bencana itu meragut 1,455 nyawa, manakala 5,285 orang masih hilang, menurut Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Bencana Kebangsaan.













Tinggalkan Balasan