Kerajaan Kurangkan Risiko Kebergantungan Semikonduktor, Pelbagaikan Sumber Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Okt —  Kerajaan akan mengurangkan risiko kebergantungan Malaysia terhadap sektor semikonduktor dengan mempelbagaikan rantaian nilai elektrik dan elektronik (E&E), mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi serta memperluas pasaran eksport.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu bertujuan meningkatkan daya tahan eksport negara sekiranya berlaku kemerosotan dalam kitaran semikonduktor global.

“Pertama, memperkukuh dan mempelbagaikan rantaian nilai E&E. Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kerajaan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi dan berintensifkan teknologi seperti reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju.

“Kedua, mempelbagaikan sumber pertumbuhan di luar sektor E&E dan memperkukuh rantaian bekalan domestik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai risiko kebergantungan eksport negara terhadap sektor E&E yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport negara, serta strategi kepelbagaian sekiranya kitaran semikonduktor global merosot.

Johari berkata langkah ketiga adalah dengan mempelbagaikan pasaran eksport ke destinasi pasaran bukan tradisional seperti Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menurut Johari 21 sektor di bawah NIMP 2030, termasuk sektor perkhidmatan menyumbang RM897 bilion pada 2025, dengan pelan itu menyasarkan peningkatan kompleksiti ekonomi, pengembangan aktiviti bernilai tambah tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai usaha memastikan kepelbagaian eksport mengutamakan produk bernilai tambah tinggi dan penguasaan teknologi tempatan, Johari berkata kerajaan telah mengadakan beberapa siri libat urus dengan syarikat tempatan.

Beliau berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas demi kepentingan jangka panjang negara bagi melindungi ekonomi Malaysia dan mengurangkan kebergantungan kepada negara lain yang boleh menjejaskan ekonomi tempatan.