MBPP Tutup, Sita Peralatan Di Lima Premis Perniagaan Kendalian Warga Asing

GEORGE TOWN, 15 Okt — Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menutup dan menyita peralatan perniagaan di lima premis di Jalan Baru, Batu Maung di sini yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing dalam operasi penguatkuasaan Ops Tegas, dua hari lepas.

MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya menjalankan operasi tersebut yang melibatkan premis kedai runcit, kedai makan dan perkhidmatan gunting rambut.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu turut menggunakan pekerja warga asing, malah dalam satu pemeriksaan seorang warga asing didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum dia bertindak meninggalkan premis tersebut.

“Pemeriksaan turut menemukan aktiviti pemprosesan ayam mentah dan ikan di ruang perniagaan serta kemudahan kedai gunting rambut di sebuah premis yang turut mempunyai laluan ke ruang penginapan dan penyediaan makanan,” menurut kenyataan itu.

MBPP memaklumkan tindakan penyitaan peralatan perniagaan dan menutup kesemua lima premis itu dilaksanakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.