Kenya Sahkan Kes Kedua Ebola

NAIROBI, 15 Okt — Kenya mengesahkan kes kedua penyakit Ebola yang disebabkan oleh virus Bundibugyo, yang mempunyai kaitan dengan kes pertama, tanpa sebarang bukti penularan lebih meluas dalam kalangan masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan pada Rabu.

“Kenya kini telah mencatatkan dua kes yang disahkan dan satu kematian,” kata Patrick Amoth, Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Kenya, lapor Xinhua.

Pesakit, seorang lelaki berusia 39 tahun, merupakan ahli keluarga terdekat kepada pesakit pertama (kes indeks) dan sedang menjalani kuarantin wajib serta pemantauan perubatan harian apabila beliau mula menunjukkan gejala pada Selasa, menurut pegawai kesihatan.

Selepas mengalami demam, keletihan dan sakit sendi, pasukan tindak balas kuarantin telah mengasingkannya dan mengambil spesimen klinikal untuk ujian makmal.

Menurut Kementerian Kesihatan, penilaian diagnostik menunjukkan keputusan positif yang sepadan, iaitu daripada Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan Kenya-CDC, sekali gus mengesahkan jangkitan tersebut.

“Beliau kini berada di pusat rawatan khusus, tempat pasukan terlatih memberikan penjagaan sokongan kepadanya. Memandangkan beliau sudah pun menjalani kuarantin, penyakitnya dapat dikesan lebih awal,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nairobi.

“Penjagaan sokongan awal meningkatkan peluang beliau untuk sembuh, manakala pengasingan sebaik sahaja gejala pertama muncul dapat mengehadkan risiko penularan virus kepada orang lain. Ini menunjukkan langkah tindak balas yang dilaksanakan berjalan seperti yang dirancang,” tambahnya.

Kes terbaharu itu dilaporkan susulan pengesahan Kenya pada 6 Okt lepas mengenai kes Ebola pertama di negara itu, yang dikaitkan dengan wabak yang sedang berlaku di Republik Demokratik Congo (DRC).

Kes indeks, seorang warganegara Kenya yang telah menetap di DRC selama tujuh tahun, baru-baru ini kembali ke negara tersebut melalui laluan transit serantau.