China Komited Terus Pacu Pembangunan Berkualiti Melalui Peningkatan Tahap Keterbukaan – PM Li

China komited terus memacu pembangunan berkualiti tinggi melalui peningkatan tahap keterbukaan, dan mengambil tindakan yang proaktif dalam bidang-bidang yang substantif bagi mencetuskan lebih banyak penggerak kepada pertumbuhan ekonomi sejagat.

Demikian dinyatakan Perdana Menteri China, Li Qiang semasa menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-140 di Guangzhou, provinsi Guangdong pada Rabu.

Li menunjukkan, China akan berkongsi lebih banyak peluang pasaran, memperluas kerjasama saling untung, sambil teguh menjaga order ekonomi dan perdagangan antarabangsa. 

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 tertubuhnya Canton Fair, kata Li sambil menambah bahawa Presiden Xi Jinping sebelum ini telah mengutuskan surat tahniah untuk memberi penilaian tinggi terhadap pencapaian yang dilakar sepanjang penganjuran Canton Fair sejak sekian lama, dan mengulangi ketekadan China untuk memperhalusi pelaksanaan dasar pintu terbuka.

Li menekankan bahawa Canton Fair sentiasa menampilkan kedinamikan dan tenaga baharu walaupun mengharungi pelbagai ujian dan perubahan yang berlaku di peringkat antarabangsa. Kejayaannya yang mengandungi ilham yang inspiratif boleh membuktikan bahawa kesalinghubungan antara pelbagai pasaran bukanlah alat pertaruhan, sebaliknya ia merupakan langkah berkesan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, perdagangan antarabangsa bukan sekadar perangkaan di atas kertas, tetapi pilihan sukarela untuk meningkatkan kesejahteraan. 

“Situasi sama menang dan saling untung tidak merujuk kepada kompromi sebelah pihak sahaja, sebaliknya ia berdasarkan peningkatan keserasian dan kejayaan bersama,” ujar Li lagi.