China, Rusia Tingkatkan Penyelarasan dalam Kerangka Pelbagai Hala

Siri aktiviti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 di China akan menjadi produktif atas sokongan pelbagai pihak termasuk Rusia. China bersedia berganding bahu dengan pelbagai pihak yang akan menghadiri Persidangan Pemimpin Tidak Rasmi APEC 2026 di Shenzhen pada bulan depan, menghidupkan semula proses sejarah Komuniti Asia-Pasifik dan memberikan dorongan kuat kepada kerjasama pembangunan rantau Asia-Pasifik.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia Lavrov di Baku, ibu negara Azerbaijan pada 14 Oktober 2026 waktu tempatan.

Wang juga mengucapkan tahniah kepada Rusia atas kejayaan pilihan raya Duma yang dilihat sebagai satu agenda politik domestik yang penting. 

Wang berkata, pada bulan Mei dan Ogos tahun ini, Presiden Xi Jinping dan Presiden Putin pernah mengadakan pertemuan yang produktif, untuk membimbing Perkongsian Strategik Komprehensif China-Rusia Era Baharu terus berkembang pada tahap tinggi. 

Selain itu, Sidang Kemuncak Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan Asia (CICA) akan diadakan lagi berselang empat tahun, menurut Wang.

China bersedia untuk bekerjasama rapat dengan pelbagai anggota CICA termasuk Rusia, mengamalkan multilateralisme yang benar dan menyumbang usaha untuk memperbaiki tadbir urus global.

Lavrov pula berkata, Rusia mempunyai pendirian yang hampir sama dengan China dalam hal ehwal antarabangsa, dan bersedia meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dengan China dalam kerangka pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan G20, APEC dan mekanisme BRICS, untuk bersama-sama mempertahankan keadilan antarabangsa.