China Mahu Perluas Pemindahan Teknologi, Pengetahuan Ke Malaysia – Ahmad Zahid

BEIJING, 15 Okt — China mahu memperkukuh dan memperluas kerjasama dengan Malaysia menerusi pemindahan teknologi dan pengetahuan melangkaui pendekatan berasaskan pelaburan semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu antara yang diberikan penekanan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Ding Xuexiang, khususnya dalam usaha memperluas kerjasama strategik pada peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja melibatkan pelaburan oleh syarikat China di Malaysia tetapi turut merangkumi pemindahan teknologi melalui kerjasama dua hala, termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sektor kenderaan elektrik (EV).

“Beliau (Ding) turut mencadangkan beberapa perkara baharu yang harus diterima oleh Malaysia, dengan hasrat China bukan sahaja memindahkan teknologi tetapi juga pengetahuan yang pada hemat saya sangat dialu-alukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke China mengadakan kunjungan hormat ke atas Ding di Dewan Besar Rakyat di sini dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit.