China Kemukakan Cadangan Bina Keyakinan dan Tingkatkan Solidariti di Asia

Menteri Luar China Wang Yi selaku  Wakil Khas Presiden Xi Jinping, telah menghadiri Sidang Kemuncak ke-7 Persidangan Interaksi dan Langkah Membina Keyakinan di Asia (CICA), di Baku, ibu negara Azerbaijan pada Khamis.

Dalam ucapannya, Wang yang juga merupakan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) mengemukakan empat cadangan dalam usaha memajukan kerjasama antara negara-negara anggota CICA.

Beliau menunjukkan bahawa masalah di rantau Asia pada dasarnya perlu diselesaikan oleh rakyat Asia melalui perpaduan dan kolaborasi, dan keselamatan Asia pada asasnya perlu dicapai dengan menegakkan konsep keselamatan yang universal, komprehensif, bekerjasama, dan mampan.

“Kita perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan pelbagai negara yang mempunyai inisiatif pembangunan masing-masing, menjaga persekitaran kerjasama yang terbuka, memajukan liberalisasi dan kemudahan dalam perdagangan serta pelaburan, memastikan kestabilan dan kecekapan laluan pengangkutan antarabangsa terjamin, mengukuhkan jaminan terhadap bekalan bahan mentah yang strategik, sumber tenaga dan makanan, supaya negara-negara Asia boleh bersinergi mempercepatkan pemodenan masing-masing,” kata Wang.

Beliau menekankan, semua pihak harus teguh menyemarakkan ‘Nilai-nilai Asia’ yang berteraskan keamanan, kerjasama, keterbukaan, dan keterangkuman, serta menghormati pelbagai negara dalam memilih model tadbir urus mengikut acuan sendiri. 

“Kerjasama dan pertukaran perlu terus diperkasakan dalam bidang budaya, pelancongan, kesihatan, wanita, belia, media dan kumpulan pemikir, sambil menggalakkan interaksi di kalangan rakyat antara satu sama lain, supaya peradaban yang berlainan dapat difahami dengan lebih baik dan berkembang secara harmoni,” ujarnya.

Wang juga menegaskan patutlah memartabatkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memelihara prinsip asas hubungan antarabangsa yang termaktub dalam Piagam PBB, di samping menaik taraf tadbir urus digital serta keupayaan pengurusan bencana dan kesihatan awam, demi membina sistem tadbir urus Asia yang lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.