Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong dalam sesi perdebatan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Asia Barat semalam telah menyeru supaya ketegangan di rantau itu diredakan secepat mungkin.
Fu menyatakan bahawa perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sepatutnya tidak berlaku, dan peperangan yang berterusan sekarang ini tidak selaras dengan kepentingan pihak-pihak yang terlibat malah seluruh masyarakat antarabangsa. AS dan Iran perlu memulakan semula dialog dan rundingan secepat mungkin demi mencapai perjanjian menyeluruh yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.
China mendesak semua pihak memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang laluan perkapalan antarabangsa serta kestabilan rantaian bekalan dan industri antarabangsa terjamin. Sejak kebelakangan ini, situasi di Yaman telah memburuk secara menyeluruh, dan kesan negatifnya semakin merebak.
“Isu Palestin yang merupakan inti pati dalam landskap Asia Barat, tidak boleh diabaikan atau disisihkan. China menggesa pihak-pihak berkenaan, terutamanya Israel, supaya dengan ikhlas dan menyeluruh melaksanakan perjanjian gencatan senjata di Gaza, di samping menghentikan semua operasi ketenteraan di semenanjung itu.
“Israel perlu memenuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan menjamin barangan bantuan kemanusiaan serta peralatan yang diperlukan dibawa masuk ke Gaza secara besar-besaran,” ujar Fu.
“Selain itu, China menyokong Syria memajukan proses peralihan politik yang inklusif. Dataran Tinggi Golan ialah wilayah Syria yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa yang berada di bawah penaklukan Israel sekarang ini. China menyeru Israel menamatkan kehadiran ketenteraan haramnya di Syria,” menurut Fu.
“China sejak sekian lama berperanan sebagai pembina keamanan, pemacu kestabilan dan penyokong pembangunan di Asia Barat, dan akan terus menyumbang usaha kepada kestabilan jangka panjang serta pembangunan dan kemakmuran rantau itu” tambah beliau.












Tinggalkan Balasan