Rakyat Malaysia Terima Penghargaan Menteri Luar Jepun

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Pendidik dan penyokong pertukaran budaya dari Malaysia, Gary Tang Kok Lian menerima Penghargaan Menteri Luar Jepun atas sumbangan beliau sejak sekian lama dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pertukaran budaya.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki berkata Tang merupakan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dipilih menerima penghargaan itu bagi 2026. Secara keseluruhan, penghargaan berkenaan dianugerahkan kepada 159 individu dan 67 kumpulan di seluruh dunia atas pencapaian cemerlang dalam hal ehwal antarabangsa.

“Dengan visi dan kepimpinannya yang luar biasa, Encik Gary Tang telah memberikan sumbangan signifikan dalam memajukan kerjasama Jepun-Malaysia merentasi bidang pendidikan, kebudayaan, perniagaan dan pelbagai bidang lain,” katanya pada majlis penyampaian penghargaan itu yang diadakan di kediaman rasminya pada 17 Okt.

Shikata berkata hubungan Tang dengan Jepun bermula pada 1983 apabila beliau mempelajari bahasa Jepun di Kokusai Gakuyukai, satu daripada organisasi terdahulu kepada Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun (JASSO), sebelum menamatkan pengajian dalam bidang Sistem Maklumat Pengurusan di University of Electro-Communications pada 1988.

Beliau berkata Tang memainkan peranan penting dalam mempromosikan peluang melanjutkan pengajian di Jepun dalam kalangan belia Malaysia sejak menjadi Presiden Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM) pada 2018, khususnya menerusi Pameran Pendidikan Jepun JAGAM yang diadakan setiap tahun dan menarik penyertaan 35 institusi pendidikan Jepun serta kira-kira 1,500 pelajar dan ibu bapa pada 2026.

Shikata turut mengetengahkan usaha Tang memperluas peluang biasiswa, termasuk Biasiswa Daihatsu JAGAM yang dilancarkan dengan kerjasama Daihatsu Motor Co Ltd pada 2024 bagi menyokong rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di Jepun serta membantu membangunkan bakat masa depan untuk kedua-dua negara.

Dalam kerjasama perniagaan, Tang selaku seorang gabenor Majlis Alumni Jepun ASEAN (ASCOJA) telah menerajui pelancaran Lembaga Penasihat Perniagaan ASCOJA pada September 2026 bagi memperkukuh hubungan antara syarikat Jepun dengan pasaran ASEAN.

Dalam bidang pertukaran budaya pula, JAGAM telah menjadi penganjur bersama acara Pavilion x JAGAM Matsuri di Pavilion Bukit Jalil sejak 2025, yang menampilkan persembahan tradisional Jepun dan pelbagai aktiviti kebudayaan.

Menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada 2027, Shikata menzahirkan keyakinan bahawa pertukaran antara rakyat kedua-dua negara akan menjadi semakin penting dan berharap Tang serta JAGAM akan terus memberi inspirasi kepada belia Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Jepun selain memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, perniagaan, inovasi dan kebudayaan.

Tang dalam ucapan penerimaannya berkata penghargaan itu mencerminkan sokongan dan kerjasama keluarga, mentor, rakan sekerja serta institusi rakan kongsi yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan dan usaha beliau.

Tang pergi ke Jepun pada Mac 1983 sebelum menerima keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mendaftar di Kokusai Gakuyukai, yang kini dikaitkan dengan Pertubuhan Perkhidmatan Pelajar Jepun (JASSO).

Beliau kemudian menyertai Persatuan Pelajar Malaysia di Jepun dan berkhidmat sebagai presidennya pada 1986 bagi membantu rakan-rakan pelajar Malaysia di negara itu.

Tang berkata dua nilai masyarakat Jepun yang banyak membentuk pandangan hidupnya ialah sonkei, iaitu rasa hormat, dan kansha, iaitu rasa syukur.

Beliau menyifatkan kedua-dua nilai itu sebagai prinsip penting dalam pendidikan, budaya dan hubungan sesama manusia.

Beliau berikrar untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara serta membina lebih banyak jambatan persahabatan dan kerjasama demi generasi akan datang.