PM Montenegro Bertemu Wang Yi 

Perdana Menteri Montenegro, Milojko Spajic mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi di Podgorica pada Ahad. 

Dalam pertemuan itu, Spajic memuji pendekatan bertanggungjawab yang dipamerkan China dalam membantu menangani kenaikan harga minyak global ekoran konflik yang tercetus di Timur Tengah.

Ujarnya, usaha Beijing itu turut membantu Montenegro dan negara-negara kecil dan sederhana lain menghadapi krisis tenaga, sekali gus mencerminkan tanggungjawab China sebagai sebuah kuasa besar dunia. 

Spajic berkata, pihaknya bersedia untuk terus bekerjasama rapat dengan China, khususnya dalam sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, peralihan tenaga hijau serta memperluas pertukaran pengalaman pentadbiran negara dan tadbir urus bagi mempercepatkan pembangunan bersama. 

Pada masa sama, Montenegro turut mengalu-alukan persefahaman baharu yang dicapai menerusi Mekanisme Rundingan Perdagangan dan Pelaburan antara China dengan Eropah.

Dalam pada itu, Wang Yi berkata ulang tahun ke-20 hubungan diplomatik China-Montenegro pada tahun ini merupakan detik penting untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

“China bersedia untuk berbincang dengan Montenegro mengenai peningkatan hubungan dua hala, terus memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang, dan menjadi rakan strategik yang jangka panjang dan boleh dipercayai antara satu sama lain,” katanya lagi.