Sultan Selangor Berkenan Lancar Buku, Setem Dan Syiling Khas Sempena Jubli Perak

SHAH ALAM, 19 Okt — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, sampul surat Hari Pertama dan setem serta syiling khas bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat ke majlis pelancaran itu yang diadakan di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini.

Sultan Sharafuddin juga berkenan menyempurnakan kesemua tanda ingatan dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama serta sokongan Perbendaharaan Negeri Selangor, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia).

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam sembah ucapannya menzahirkan penghargaan kepada UPM atas kerjasama serta komitmen bagi merealisasikan penerbitan naskhah bersejarah itu sebagai khazanah ilmu dan warisan Selangor.

Beliau berkata penerbitan buku itu ialah usaha bermakna untuk merakam sejarah pemerintahan serta mengabadikan warisan dan identiti Kesultanan Selangor untuk tatapan generasi akan datang.

“Selain itu, kita disajikan dengan keluaran setem khas hasil usaha Pos Malaysia yang mengangkat warisan serta kebesaran Diraja Selangor.

“Setem ini menampilkan visual Balairung Seri, Istana Alam Shah, Tengkolok Balung Raja, Keris Terapang Gabus, serta motif geometri dan bunga tanjung berkelopak sembilan yang melambangkan keagungan institusi diraja, keluhuran adat serta kedaulatan negeri itu,” katanya.

Amirudin berkata Perbendaharaan Negeri Selangor turut menghasilkan syiling khas bersempena dengan Jubli Perak Sultan Sharafuddin sebagai tanda penghargaan terhadap 25 tahun pemerintahan baginda, selain melambangkan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negeri.

Beliau berkata kesemua elemen tersebut membuktikan bahawa usaha memperingati Jubli Perak pemerintahan Sultan Sharafuddin bukan sekadar melalui catatan sejarah, malah turut mengangkat seni, simbol dan warisan yang mempunyai nilai sejarah serta ketinggian budaya.

“Inilah tanda ingatan berupa hadiah kecil dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang disampaikan melalui kerjasama serta sokongan Perbendaharaan Negeri Selangor, UPM dan Pos Malaysia.

“Semoga pemberian ini menjadi kenangan bermakna dan mencerminkan semangat kerjasama erat antara agensi demi manfaat bersama,” katanya.