Raja Permaisuri Agong Kurnia 500,000 Pelitup Muka Buat Pelajar Sekolah Di Johor

JOHOR BAHRU, 19 Okt — Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Pelitup Muka kepada Kerajaan Negeri Johor bagi kegunaan murid dan pelajar sekolah di seluruh negeri.

​Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan sebanyak 500,000 unit pelitup muka berkenaan disampaikan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), khusus buat golongan berkenaan.

​Yang turut berangkat pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

​Kurniaan berkenaan merupakan kesinambungan daripada siri inisiatif kebajikan dan keprihatinan berterusan Raja Permaisuri Agong dalam membendung kesan jerebu terhadap komuniti.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Nasri Md Ali dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Zulkurnain Abdul Rahman.

​Sebelum ini, Seri Paduka Baginda telah menyumbangkan hampir 300,000 unit pelitup muka, khusus buat petugas barisan hadapan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agihan kepada setiap daerah di Johor.