PM Li Bertemu dengan Naib Presiden Pertama Iran

Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Ketua Kerajaan (Perdana Menteri) Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-25 di Dushanbe, Tajikistan pada Isnin.

Semasa pertemuan itu, Li berkata situasi di Asia Barat terus bergolak sejak awal tahun ini, sekali gus menuntut usaha berterusan masyarakat antarabangsa dalam mengembalikan kestabilan serantau.

Mengambil kira perkembangan berkenaan, beliau berkata Presiden Xi Jinping telah mengemukakan empat cadangan bagi memelihara keamanan dan kestabilan Asia Barat, serta memperkenalkan empat inisiatif  untuk memperkukuh keselamatan bersama di rantau berkenaan. 

Menurut Li, China sentiasa berpendirian bahawa kedaulatan dan keselamatan setiap negara perlu sentiasa dihormati, manakala semua pihak berkaitan harus mengutamakan penyelesaian secara aman dengan menyambung semula dialog dan rundingan bagi menangani sebarang perbezaan melalui saluran politik dan diplomatik, sekali gus memulihkan keamanan dan kestabilan rantau.

Beliau juga berkata China akan terus memainkan peranan dalam menggalakkan keamanan serta mempromosikan rundingan, selaras dengan inisiatif yang diperkenalkan Presiden Xi bagi menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau Asia Barat.

Dalam pada itu, Mohammad Reza menzahirkan penghargaan Iran terhadap usaha berterusan yang dilakukan China dalam menggalakkan keamanan serta menamatkan konflik yang tercetus di rantau Asia Barat. 

Beliau turut menyatakan sokongan Iran terhadap inisiatif keamanan yang dikemukakan oleh Presiden Xi mengenai usaha menggalakkan keamanan dan keselamatan di Asia Barat, di samping menegaskan kesediaan pentadbiran Tehran untuk menyelesaikan sebarang konflik yang tercetus menerusi dialog dan rundingan. 

Mohammad Reza turut berharap agar pihak berkaitan dapat segera kembali kepada Memorandum Persefahaman Islamabad bagi memulihkan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat.