Hainan Manfaat Iklim Tropika, Perluas Industri Durian

Iklim tropika Hainan yang hampir menyerupai Malaysia dan Thailand dimanfaatkan wilayah selatan China itu untuk memperluas industri durian, dengan sasaran meningkatkan kawasan tanaman kepada sekitar 2,000 hektar.

Usaha itu bukan sahaja tertumpu kepada penanaman ‘raja buah’ secara komersial, malah merangkumi penyelidikan varieti, pembangunan produk hiliran dan potensi pelancongan berasaskan durian.

Timbalan Pengarah Urusan Youqi Investment Co., Ltd., Kumpulan Pertanian Hongxiang Hainan, Zhang Xilai berkata, Hainan mempunyai keadaan iklim yang sesuai untuk penanaman durian.

“Ini kerana iklim di Hainan hampir sama dengan iklim di negara-negara Asia Tenggara. Kawasan di selatan latitud 18 darjah utara, termasuk Sanya, Ledong, Baoting dan Lingshui, mempunyai keadaan iklim yang sangat sesuai untuk penanaman durian,” katanya.

Menurut Zhang, varieti durian dari Malaysia dan Thailand turut digunakan dalam penanaman, selain penyelidikan bagi menghasilkan varieti yang lebih sesuai dengan keadaan tempatan.

Zhang berkata, syarikat itu kini mengusahakan hampir 10.67 juta meter persegi atau 1,067 hektar kawasan tanaman durian, dengan perancangan memperluasnya kepada sekitar 20 juta meter persegi.

Di Zon Ekologi Yucai, Sanya, ladang seluas kira-kira 382,667 meter persegi yang diusahakan syarikat itu kini memasuki fasa pengeluaran selepas pokok durian berusia sekitar enam tahun.

Sementara menunggu pokok durian matang, tanaman sampingan seperti pinang, pisang, betik dan nanas diusahakan di ruang antara pokok bagi menjana pendapatan sementara serta memaksimumkan penggunaan tanah.

“Ketika menunggu durian berbuah, kami memanfaatkan ruang antara pokok dengan tanaman lain bagi menjana pendapatan sementara,” katanya.

Selain pengeluaran buah segar, syarikat itu turut meneroka pemprosesan durian kepada pelbagai produk, termasuk durian kering, aiskrim, kek lapis dan kuih bulan berperisa durian.

Zhang berkata, pembangunan produk berasaskan durian itu bertujuan meningkatkan nilai ekonomi hasil tanaman, selain membuka peluang kepada sektor pelancongan.

“Kami sedang membangunkan pelbagai produk ini bagi memaksimumkan nilai ekonomi buah durian. Kami juga berharap kebun ini dapat berkembang sebagai destinasi pelancongan yang menarik pengunjung dari seluruh China dan luar negara,” katanya.

Pasaran domestik China kekal menjadi keutamaan kerana pengeluaran durian tempatan masih belum mampu memenuhi permintaan, manakala eksport hanya akan dipertimbangkan apabila kapasiti pengeluaran meningkat.

Menerusi kelebihan iklim tropika, peluasan kawasan tanaman dan pembangunan produk hiliran, Hainan berusaha memperkukuh industri durian sebagai pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi pertanian wilayah itu.