PUTRAJAYA, 22 Okt — Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama penyedia aplikasi TuJu sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.
Perkara itu susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan orang ramai menggunakan TuJu sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
LLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perhatian turut diberikan kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan aplikasi.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat, dan mesra pengguna,” menurut LLM yang turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna.
TuJu mula diperkenalkan pada 26 Nov 2025, iaitu aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan oleh Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB) dengan kerjasama LLM.
Selain maklumat perjalanan, aplikasi itu menyediakan kemudahan berkaitan keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan di lebuh raya.
Menurut LLM, selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya, Agensi Keselamatan Siber Negara dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang perlu diberi perhatian.
“LLM menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberikan jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius,” menurut LLM.
Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan melalui saluran rasmi LLM dan TuJu serta sebarang aduan atau maklum balas berhubung aplikasi TuJu boleh dikemukakan melalui e-mel kepada feedback@prosignalconsortium.my.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh 20 Okt memaklumkan bahawa larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam adalah berkuat kuasa serta-merta.
Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta.













Tinggalkan Balasan