Perdana Menteri China, Li Qiang menghadiri pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di St. Petersburg pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Li berkata China bersedia meningkatkan kerjasama dengan Rusia untuk memanfaatkan kelebihan ekonomi yang saling melengkapi dan mengekalkan momentum pembangunan yang positif antara kedua-dua pihak.
Ini termasuk mengukuhkan kerjasama pratikal dalam sektor tenaga, sumber asli, perdagangan, pelaburan dan pengangkutan dalam mencapai lebih banyak hasil positif, sekali gus menggalakkan kemakmuran bersama antara kedua-dua negara.
Menurut Li, kedua-dua pihak juga perlu menjayakan “Tahun Pendidikan China-Rusia” serta terus memperdalam pertukaran dan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan, sukan dan belia bagi meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.
Li turut menyatakan bahawa unilateralisme dan hegemonisme semakin berleluasa dalam landskap antarabangsa ketika ini.
Justeru, beliau berkata China bersedia memperkukuh komunikasi dan penyelarasan dengan Rusia berhubung isu-isu utama, selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS.
Ujar Li, usaha berkenaan bertujuan untuk menyatukan lebih banyak kekuatan dalam kalangan negara Global South bagi mempertahankan kepentingan bersama, serta menegakkan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa.
Sementara itu, Putin pula menyatakan hubungan Rusia-China dibina berlandaskan prinsip kesaksamaan, saling menghormati, manfaat bersama dan mengambil kira kepentingan masing-masing tanpa dipengaruhi sebarang perubahan keadaan antarabangsa, dan tidak terganggu oleh pihak ketiga.
Menurutnya, China sentiasa menjadi rakan paling rapat dan paling dipercayai Rusia, sama ada pada masa lalu, masa kini mahupun masa hadapan.













Tinggalkan Balasan