KUALA LUMPUR, 22 Okt — Sebanyak 5,234 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara telah kembali bekerja di tanah air menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) sejak 2011 hingga Ogos tahun ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, REP yang dilaksanakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerima 12,850 permohonan, dengan 8,093 daripadanya diluluskan.
Program itu merupakan mekanisme bagi menarik kembali rakyat Malaysia berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
Menurut KESUMA, bagi memperkukuh usaha berkenaan TalentCorp turut melaksanakan inisiatif “MyHeart”, menghubungkan diaspora Malaysia berkemahiran tinggi dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman, kepakaran dan tahap kemahiran mereka.
“Sebagai komponen baharu, MyHeart Global Connect (MGC) pulamenghimpunkan pakar diaspora terpilih untuk memberi khidmat nasihat, berkongsi kepakaran dan meneroka peluang kerjasama dengan pihak berkepentingan di Malaysia. Tumpuan awal kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi dan keusahawanan, penjagaan kesihatan serta keutamaan strategik Malaysia-Singapura,” katanya.
Ia bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin tahu keberkesanan REP berdasarkan statistik permohonan, kelulusan dan jumlah pakar yang kembali bekerja di Malaysia.
Kementerian itu memaklumkan bagi memudahkan kepulangan bakat diaspora bersama keluarga, kerajaan melalui kerjasama antara KESUMA, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan TalentCorp turut menyediakan Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah kategori REP.
Garis panduan itu bertujuan memberikan rujukan lebih jelas mengenai tatacara permohonan permit masuk bagi tanggungan peserta REP, sekali gus meningkatkan keyakinan bakat berkemahiran tinggi untuk kembali ke Malaysia bersama keluarga.
Sementara itu, bagi pembangunan bakat tempatan, KESUMA melalui TalentCorp melaksanakan MyBakat SkillsLab yang setakat Ogos 2026 telah membantu 2,794 peserta mendapat penempatan pekerjaan, dengan gaji permulaan lima hingga 15 peratus lebih tinggi daripada purata.














Tinggalkan Balasan