SAMARKAND (Uzbekistan), 22 Okt – Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgyzstan sedang meningkatkan pelaburan dalam penjagaan kesihatan kanak-kanak untuk merapatkan jurang dalam akses kepada rawatan berkualiti, terutamanya untuk kanak-kanak di kawasan luar bandar dan terpencil.
Tiga negara Asia Tengah menumpukan pada penjagaan kesihatan primer yang lebih kukuh, pengesanan penyakit awal dan perkhidmatan khusus yang diperluas, disokong oleh penambahbaikan dalam infrastruktur perubatan, latihan tenaga kerja dan teknologi digital.
Menteri Kesihatan Uzbekistan Eldor Adilov berkata negaranya menganggap penjagaan kesihatan ibu dan anak sebagai keutamaan negara, dengan kira-kira 13.5 juta kanak-kanak membentuk lebih satu pertiga daripada penduduknya.
Beliau berkata pelaburan penjagaan kesihatan harus diterjemahkan kepada peningkatan yang boleh diukur dalam kesihatan dan kualiti hidup kanak-kanak.
“Pengurangan kematian, pengesanan awal penyakit, perkembangan penuh kanak-kanak dan akses sama rata kepada bantuan perubatan, ini ialah petunjuk untuk kita menilai kejayaan pembaharuan kita,” katanya.
Beliau bercakap pada Sesi Plenari Kesihatan 4 bertajuk “Melabur dalam Sistem Kesihatan Kanak-Kanak yang Saksama dan Berdaya Tahan yang Menyampaikan Hasil Boleh Diukur Sepanjang Tahap Kehidupan”, dalam Sidang Kemuncak Dunia mengenai Pelaburan dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak di sini.
Sidang kemuncak dua hari itu, yang diadakan dari 21 hingga 22 Okt, menghimpunkan wakil kerajaan, organisasi antarabangsa dan pakar untuk memajukan kerjasama dalam kesihatan kanak-kanak, perlindungan sosial, pendidikan dan pembangunan mampan.
Bagi mengukuhkan penjagaan ibu dan bayi baru lahir, Adilov berkata Uzbekistan telah menubuhkan 46 pusat perinatal serantau, di samping penambahbaikan dalam pemantauan pranatal, saringan neonatal dan pengesanan awal keadaan perkembangan.
Beliau berkata penjagaan pencegahan juga diperkukuh menerusi program imunisasi kebangsaan yang meliputi 13 penyakit berjangkit dan usaha meningkatkan pemakanan kanak-kanak dan mencegah kekurangan mikronutrien.
Selain penjagaan pencegahan, kira-kira 5,000 kanak-kanak menerima rawatan komprehensif melalui pusat pemulihan khusus, dengan rancangan untuk mengembangkan perkhidmatan serupa ke seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Perlindungan Sosial Penduduk Tajikistan Jamoliddin Abdullozoda berkata negaranya sedang memperkukuh penjagaan kanser kanak-kanak menerusi program pencegahan dan kawalan kanser nasional meliputi 2025 hingga 2029.
Beliau berkata program itu memberikan tumpuan pada pengesanan awal, diagnosis tepat pada masanya, akses kepada ubat-ubatan, sokongan psikologi untuk keluarga dan penjagaan paliatif bagi kanak-kanak.
Bagi menyokong usaha ini, Abdullozoda berkata Tajikistan sedang mencari kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh dalam empat bidang keutamaan iaitu latihan perubatan, perundingan teleperubatan dengan institusi penjagaan kesihatan terkemuka, diagnostik makmal dan penambahbaikan dalam pendaftaran kes kanser serta penilaian rawatan.
Mengenai pencegahan kanser, beliau berkata negara itu telah memasukkanvaksinasi human papillomavirus (HPV) ke dalam program imunisasi kebangsaannya pada 2025, mencapai 95.5 peratus liputan dalam kalangan kanak-kanak perempuan berumur 10 hingga 14 tahun.
Tajikistan turut melaksanakan projek penjagaan kesihatan yang disokong Bank Dunia untuk mengukuhkan infrastruktur perubatan, melatih profesional penjagaan kesihatan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, khususnya di kawasan luar bandar.
Negara itu kini mengendalikan 13 pusat pemulihan dan latihan ibu bapa untuk kanak-kanak kurang upaya dan mempunyai masalah perkembangan, dengan rancangan untuk memperluas kemudahan tersebut.
Di Kyrgyzstan, Menteri Kesihatan Damirbek Osmonov menekankan penggunaan teleperubatan yang semakin meningkat untuk menjangkau keluarga di kawasan terpencil dan pergunungan, terutamanya semasa musim sejuk.
Beliau berkata Kyrgyzstan telah memperkenalkan 23 protokol klinikal dan cadangan mengenai neonatologi manakala lebih 5,000 doktor penjagaan kesihatan primer telah menjalani latihan dalam diagnosis penyakit awal.
Negara itu juga telah mengembangkan rawatan pediatrik khusus termasuk melakukan pemindahan sumsum tulang pertamanya untuk kanak-kanak yang menghidap kanser tanpa pakar asing pada 2024.
Lebih 200 prosedur implan pendengaran pediatrik telah dijalankan sejak 2018 untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran.
Osmonov berkata lebih 37,000 kanak-kanak kurang upaya telah dikenal pasti di Kyrgyzstan, menekankan keperluan untuk memperluaskan perkhidmatan pemulihan dan sokongan yang boleh diakses.













Tinggalkan Balasan