BEIJING, 23 Okt — China akan memperkasa pembinaan rangkaian kawasan perdagangan bebas berpiawaian tinggi yang berorientasikan global serta mempergiat usaha menaik taraf kawasan perdagangan bebas secara menyeluruh dalam tempoh Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15.
Naib Menteri Perdagangan China Jiang Chenghua berkata demikian pada sidang media di Beijing pada Khamis.
Sejak mencapai perjanjian perdagangan bebas pertamanya dengan ASEAN pada 2002, China telah memeterai 26 perjanjian perdagangan bebas dengan 33 negara dan wilayah.
Ketika ini, rakan perdagangan bebas menyumbang 45 peratus kepada keseluruhan perdagangan luar China dan 70 peratus kepada pelaburan asing di negara itu.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, nilai perdagangan antara China dengan rakan perdagangan bebasnya mencecah 19.55 trilion yuan (RM11.96 trilion), meningkat 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Peningkatan itu menyumbang lebih 70 peratus kepada pertumbuhan keseluruhan perdagangan luar China.
Jiang berkata China akan terus mempergiat usaha menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 serta mempercepat pelaksanaan Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas China-Peru.
Selain itu, China akan mempercepat rundingan dan usaha menaik taraf perjanjian perdagangan bebas dengan Korea Selatan, New Zealand serta negara-negara Asia Tengah, di samping menggalakkan peluasan dan peningkatan taraf Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).












Tinggalkan Balasan