Percepat Pengeluaran Hak Milik Tanah NCR, Lindung 58,000 Pekebun Kecil Sawit Di Sarawak – Nanta

SIBU, 23 Okt — Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa Kerajaan Negeri Sarawak mempercepat proses pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan pengeluaran hak milik untuk melindungi kira-kira 58,000 pekebun kecil kelapa sawit persendirian di negeri itu. 

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata ia bagi melindungi mereka, khususnya masyarakat pribumi di luar bandar daripada risiko kehilangan akses ke pasaran antarabangsa di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) walaupun mengusahakan tanah secara sah.

“Pemilik tanah NCR tidak sepatutnya menjadi mangsa kelewatan pentadbiran. Mereka tidak sepatutnya dinafikan peluang untuk menjana pendapatan yang wajar daripada tanah sendiri hanya kerana belum menerima hak milik tanah secara rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata demikian berhubung kebimbangan dibangkitkan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) berhubung kemungkinan kesan syarat pematuhan EUDR terhadap pekebun kecil yang tidak mempunyai dokumen tanah rasmi.

Beliau menggesa kerajaan negeri mempercepat proses pengukuran tanah, penandaan sempadan dan pengeluaran hak milik selain meneroka pengeluaran dokumen sementara yang diiktiraf dari segi undang-undang bagi membantu pekebun kecil yang terjejas membuktikan pematuhan mereka.

“Sebarang kelewatan tidak perlu dalam proses ini boleh menyebabkan kerugian ekonomi yang nyata bukan sahaja kepada pemilik tanah NCR dan keluarga mereka, tetapi juga kepada Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.

Nanta juga meminta perkembangan terkini berkaitan usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan pengecualian khas EUDR bagi tanah NCR susulan komitmen awal Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom untuk membangkitkan perkara itu kepada pihak berkaitan pada peringkat Persekutuan.

Beliau berkata usaha untuk mendapatkan pengecualian dan mempercepat penyediaan dokumen tanah NCR mesti dilaksanakan secara serentak. 

Selain itu, beliau memohon bantuan teknikal dalam pemetaan tanah, geolokasi dan kebolehkesanan bagi membantu pekebun kecil memenuhi syarat EUDR.

Pada 18 Okt, Presiden DOPPA Dr Napolean R Ningkos berkata dokumen tanah yang tidak mencukupi dan kos pematuhan yang tinggi boleh menyebabkan ribuan pekebun kecil tersisih daripada pasaran antarabangsa.

DOPPA mencadangkan kerjasama lebih erat antara kerajaan, penggiat industri dan negara pengguna, termasuk mengintegrasikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) ke dalam prosedur pematuhan EUDR bagi mengurangkan kos dan pertindihan.