Belanjawan 2027: Peruntukan RM16 Bilion Bagi STR Dan SARA Dijangka Rangsang Perbelanjaan Isi Rumah, Sektor Peruncitan

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Peruntukan kerajaan yang lebih tinggi sebanyak RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bersama langkah berkaitan cukai pendapatan individu di bawah Belanjawan 2027 dijangka mengekalkan perbelanjaan penggunaan isi rumah.

Selain itu, ia juga menyokong pendapatan sektor peruncitan, khususnya dalam kalangan peruncit barangan keperluan asas dan barang pada harga berpatutan, kata Penganalisis RHB Investment Bhd (RHB IB), Soong Wei Siang dan Aidil Puzi.

Dalam laporan penyelidikan ekuiti hari ini, mereka berkata walaupun bantuan kewangan berkala bagi setiap isi rumah kekal hampir tidak berubah di bawah Belanjawan 2027, penekanan yang lebih besar terhadap SARA dijangka menyalurkan lebih banyak perbelanjaan pengguna ke arah barangan keperluan asas.

“Berdasarkan cadangan belanjawan terkini, kami mendapati bantuan berkala bagi setiap isi rumah sebahagian besarnya kekal tidak berubah, namun komponen SARA yang lebih besar akan mengarahkan lebih banyak perbelanjaan kepada barangan keperluan yang layak,” kata mereka.

Laporan itu memaklumkan bantuan SARA yang lebih meluas dan bantuan perayaan secara sekali beri akan terus menyokong aktiviti pembelian, manakala kenaikan gaji bermula Jun 2027 pula memberi rangsangan tambahan kepada pendapatan boleh guna.

“Kami menjangkakan langkah-langkah ini mengukuhkan prospek pertumbuhan pendapatan sektor berkenaan, dengan peruncit barangan keperluan asas dan peruncit yang menawarkan barangan pada harga berpatutan berada pada kedudukan lebih baik untuk meraih manfaat memandangkan pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana,” tambah RHB IB.

Dari sudut sektor pula, bank pelaburan itu memaklumkan sektor pengguna dijangka kekal berdaya tahan dalam keadaan ketidaktentuan pasaran, disokong oleh asas pendapatan yang tertumpu pada pasaran domestik dan bantuan kerajaan yang berterusan untuk menyokong perbelanjaan pengguna.

“Melihat unjuran bagi tahun kewangan 2027, pasaran buruh yang berdaya tahan, pertumbuhan gaji dan sokongan fiskal yang berterusan dijangka terus menyokong perbelanjaan pengguna,” tambahnya.

Menurut RHB IB, bantuan tunai dan pelepasan cukai dijangka membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah, walaupun kos sara hidup yang lebih tinggi berkemungkinan menyebabkan pengguna lebih selektif dalam berbelanja.

“Keadaan ini dijangka menggalakkan perbelanjaan untuk barangan keperluan asas dan pembelian barangan pada harga berpatutan, sekali gus menyokong pilihan kami terhadap saham syarikat barangan keperluan asas dan peruncit yang menawarkan harga diskaun.

“Dari segi saham pilihan, keadaan ini dijangka memberi kelebihan kepada rangkaian peruncit seperti 99SMART, ECOSHOP dan Mr DIY Group, memandangkan apabila jualan melalui kedai sedia ada meningkat, ia membantu syarikat menyerap kos tetap dan mengimbangi tekanan kenaikan gaji,” tambahnya.