CHUKAI, 23 Okt — Seekor tapir betina dewasa seberat 200 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 299.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal dekat sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak LPT2 berhubung kejadian itu pada 8 pagi, sebelum empat anggota Perhilitan Daerah Kemaman digerakkan ke lokasi sejam kemudian untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati bangkai tapir itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala, beberapa kesan calar pada badan serta patah kaki belakang kiri, dipercayai akibat dilanggar kenderaan berkenaan.
“Bangkai tapir itu kemudiannya dilupuskan selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dennis berkata Hutan Simpan Bukit Kambing adalah kawasan hutan simpan terdekat dengan lokasi kejadian, iaitu kira-kira tujuh kilometer dari tempat tapir itu ditemukan.














Tinggalkan Balasan