KUALA LUMPUR, 23 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf sekiranya keputusan pengharaman aplikasi navigasi milik entiti rejim Israel di negara ini menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata langkah tegas itu terpaksa diambil demi memastikan keselamatan negara dan rakyat yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Saya mohon maaf andai keputusan pengharaman aplikasi navigasi milik rejim Israel ini menyusahkan rakyat.
“Namun, soal keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi sama sekali kerana kedaulatan negara serta keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti kita pertahankan,” kata beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia.
Beliau berkata langkah itu mungkin dilakukan selepas kerajaan meneliti alternatif bagi menggantikan Waze, termasuk keupayaan tempatan untuk membangunkan aplikasi seumpamanya yang mampu berfungsi dengan baik.
Rabu lepas, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze, bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.













Tinggalkan Balasan