Keupayaan Angkat PKS Tembusi Pasaran Antarabangsa Penentu Kejayaan Malaysia — Anwar

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Menara MITI di Kuala Lumpur. 23 Oktober 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: These handout photographs are provided solely for editorial reporting purposes and may be used only for the contemporaneous illustration of the events, subjects, individuals depicted, or facts referenced in the accompanying caption. Any furt

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Kejayaan Malaysia akan ditentukan oleh keupayaannya dalam mengangkat puluhan ribu perusahaan kecil dan sederhana untuk menjadi pemain industri utama dan menembusi pasaran antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun jurang dalam kalangan PKS masih besar, keupayaan dan sumbangan perusahaan itu adalah tinggi.

“Tetapi kalau kita dapatkan puluhan ribu PKS itu terangkat kedudukan dia menjadi pemain industri yang penting, kecekalan dia, inovasinya, daya cipta yang kita dukung dan kemudian dapat kejayaan untuk menembusi pasaran antarabangsa, itu akan menjadi penentu kejayaan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Menara MITI di sini malam ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kekuatan negara terletak pada puluhan ribu PKS, di samping kepentingan kerjasama dengan syarikat gergasi.

Beliau berkata atas gesaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), khususnya Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai menteri, Kementerian Kewangan telah memberikan fokus yang besar kepada PKS dalam Belanjawan menerusi dana pinjaman, dana penyelidikan dan beberapa insentif yang telah diperkenalkan.

Langkah yang berani dan positif telah diambil bagi memastikan Belanjawan memberikan tumpuan untuk mengangkat keupayaan industri kecil dan sederhana, katanya.

Beliau berkata prakarsa dalam Belanjawan baru-baru ini mengambil kira cadangan dan usul pemain industri selepas dinilai berdasarkan keupayaan negara.

Anwar turut menegaskan bahawa industri perlu ditingkatkan keupayaannya dan dimodenkan, kerana usaha mengangkat martabat ekonomi tidak boleh menggunakan pendekatan lama yang lapuk.

Katanya lagi, sifat industri yang dinamik menuntut kesediaan dalam membawa perubahan pantas, sambil menyatakan bahawa kepimpinan MITI telah menunjukkan sikap yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan norma serta pemikiran lama.