Itali Tuntut Pembebasan Lima Wanita Ditahan Tentera Israel Di Tebing Barat

ISTANBUL, 24 Okt — Menteri Luar Itali Antonio Tajani pada Jumaat menuntut pembebasan segera lima wanita Itali yang ditahan tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, menyebut penahanan mereka tidak boleh diterima, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita tempatan.

“Kami warga Itali menuntut pembebasan segera lima wanita Itali yang ditangkap oleh tentera Israel,” kata Tajani, menurut agensi berita Itali ANSA.

“Kami berharap mereka boleh dihantar pulang ke Itali dalam beberapa jam akan datang. Apa yang berlaku tidak boleh diterima, mereka tidak melakukan sebarang jenayah,” tambahnya.

Menurut Kementerian Luar Itali pada Khamis, aktivis Itali telah ditahan di perkampungan al-Bweib, selatan Hebron ketika mengiringi petani Palestin menuai buah zaitun.

Mereka ditahan bersama aktivis antarabangsa yang lain, menurut kementerian itu.

Kedutaan Itali di Tel Aviv dan Konsulat Jeneral di Baitulmaqdis segera menghubungi pihak berkuasa Israel untuk mendapatkan penjelasan segera mengenai keadaan penahanan dan warga Itali berkenaan.

Menurut kementerian itu, pihak berkuasa Israel telah mengesahkan empat wanita Itali ditahan di balai polis.

Tajani merujuk kepada lima wanita dalam ucapannya pada Jumaat.

Misi diplomatik Itali mengekalkan hubungan dengan pihak berkuasa Israel untuk mendapatkan penyelesaian pantas, menurut kementerian itu.