KLANG, 25 Okt — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pandangan, teguran dan kebimbangan yang disuarakan terhadap sesuatu perkara berkaitan pentadbiran negeri bukanlah bertujuan untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, baginda bertitah perkara itu disuarakan bagi memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diberikan perhatian utama.
“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan. Sebaliknya beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor.
“Namun demikian, apa yang mendukacitakan beta adalah apabila teguran atau ‘titah’ menurut bahasa istana, disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak dan segelintir ahli-ahli politik. Seolah-olah beta mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau mahu mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan baginda yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan baginda amat arif tentang peruntukan undang-undang dan tahu sejauh mana peranan serta tanggungjawab baginda di bawah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini serta Selangor.
Baginda juga menghormati peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan dan bidang kuasa baginda sebagai Sultan.
“Selama ini, beta laksanakan pemerintahan beta berdasarkan amanah dan tanggungjawab di bawah kuasa beta dan beta percaya setiap pihak yang diberi amanah dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
“Kepada kerajaan beta, beta berpesan agar berusaha keras bagi mencapai kejayaan dan kemajuan dalam semua bidang. Beta mahu melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang terus maju, berdaya saing, mempunyai tahap pemodenan yang tinggi, rakyat yang berilmu dan cemerlang, dan pada masa yang sama tetap menjaga nilai agama, adab serta kemanusiaan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa ukuran kemajuan sesebuah negeri bukanlah semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan mencecah berbilion ringgit, pembangunan yang pesat atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.
Baginda bertitah apa gunanya sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup dalam kesusahan kerana kemajuan sebenar ialah apabila hasil kekayaan negeri dapat dinikmati dan dikecapi oleh seluruh rakyat.
“Sebagai contohnya, sebuah negeri yang maju dan kaya, rakyat terutama golongan yang miskin dan susah seharusnya dapat manfaat serta menikmati kekayaan itu.
“Rakyat sepatutnya sentiasa mendapat pembelaan daripada aspek tahap pendidikan yang baik, rumah yang mampu dimiliki, peluang pekerjaan yang luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat. Apa yang penting untuk diberikan penekanan ialah rakyat merasakan bahawa mereka tidak pernah dilupakan oleh kerajaan dalam mengejar pembangunan yang pesat,” titah baginda.
Dalam titah itu, Sultan Sharafuddin turut menyifatkan pemerintahan baginda yang bermula dari 2001 sebagai Sultan Selangor dan sebelum itu selama 33 tahun sebagai Raja Muda Selangor, bukanlah satu perjalanan yang singkat.
Sultan Selangor bertitah dalam tempoh pemerintahan itu, baginda bersama rakyat Selangor telah melalui pelbagai cabaran dan ujian, di samping menikmati pembangunan pesat dan perubahan kepada Selangor yang menjadikan baginda banyak menimba pengalaman serta mengenal erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang pemerintah.
Dalam tempoh pemerintahan berkenaan juga, sebanyak empat orang Menteri Besar telah berkhidmat bersama Sultan Sharafuddin bagi mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.
“Pada hemat beta, menjadi Sultan bukanlah satu kedudukan dan kebesaran yang perlu dibanggakan, sebaliknya ia adalah satu amanah dan tanggungjawab daripada Allah bagi memelihara kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat yang bernaung di bumi Selangor ini, di samping memelihara kesucian dan kemuliaan agama Islam.
“Beta masih mengingati lafaz ikrar yang telah beta lafazkan ketika Istiadat Pertabalan dan Kemahkotaan beta sebagai Sultan pada tanggal 8 Mac 2003, iaitu beta berikrar untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa dan memerintah negeri Selangor dengan penuh adil, saksama serta jujur demi kesejahteraan rakyat berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Beta mengambil kesempatan di sini untuk mengulangi dan memperbaharui sumpah ikrar beta untuk terus menjaga kesucian agama Islam dan memerintah dengan penuh adil, jujur serta bertanggungjawab demi kemakmuran rakyat dan negeri Selangor yang tercinta,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara kedudukan agama Islam sebagai agama negeri serta memastikan agama Islam terus dihormati dan diamalkan oleh umat Islam di negeri Selangor tanpa ada yang mempertikaikannya.
Pada masa sama, baginda turut menyeru rakyat Selangor agar terus hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain kerana Selangor mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, agama dan latar belakang serta perbezaan kaum, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita bermusuhan.
Baginda turut menyeru rakyat supaya berhati-hati dalam menyentuh perkara sensitif dan tidak menggunakan kebebasan bersuara sehingga menyinggung perasaan kaum, agama dan kepercayaan orang lain, selain saling menghormati antara satu sama lain.
“Kebebasan mesti disertai tanggungjawab. Perbezaan pandangan mesti disertai adab dan kemajuan mesti disertai nilai kemanusiaan. Beta mahu Selangor terus menjadi negeri yang aman, makmur dan rakyatnya hidup bersatu padu,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah yang memberikan baginda kesempatan selama 25 tahun sebagai Sultan untuk menjalankan amanah berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Selangor yang telah memberikan sepenuh sokongan, memanjatkan doa untuk baginda dan seluruh keluarga serta memberi kepercayaan kepada baginda untuk memerintah negeri Selangor selama tempoh itu.
“Beta tidak menganggap 25 tahun ini sebagai pencapaian peribadi beta, sebaliknya melihatnya sebagai amanah dan khidmat kepada rakyat yang perlu beta laksanakan. Selagi Allah memberikan beta kekuatan dan kesempatan, beta akan terus melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya.
“Beta berjanji akan terus menjaga rakyat, menjaga agama dan memelihara negeri Selangor daripada sebarang ancaman. Semoga Allah terus melindungi Selangor, memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya dan mengurniakan negeri ini keamanan, kemakmuran serta kejayaan yang berpanjangan,” titah baginda.












Tinggalkan Balasan