Malaysia Terus Bantu Indonesia Tangani Masalah Jerebu – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 25 Okt — Malaysia terus menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi mengatasi isu jerebu merentas sempadan yang melanda ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata komitmen tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan demi kesejahteraan bersama.

Ahmad Zahid berkata kerajaan republik itu telah mengerahkan lebih 16,000 anggota bersama pelbagai aset pesawat dan helikopter pemadam api, namun operasi udara berdepan cabaran susulan jarak penglihatan yang terhad selain ketiadaan kelompok awan bagi melaksanakan operasi pembenihan hujan.

“Jadi kita bersimpati dengan keadaan mereka. Bagaimanapun, kita masih mengharapkan agar masalah ini dapat diselesaikan kerana ia mengakibatkan negara-negara jiran terutamanya Malaysia mengalami keburukan jerebu ini kepada kesihatan, terutamanya mereka yang mempunyai penyakit berkaitan dengan alahan daripada jerebu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata komunikasi dua hala telah pun digerakkan di peringkat tertinggi bersama kepimpinan Kerajaan Indonesia bagi membincangkan situasi semasa tersebut.

Mengenai program larian hari ini, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program itu berjaya menarik 1,700 peserta tempatan dan luar negara antaranya Australia, Indonesia, Singapura, Perancis, India, Nepal dan Thailand serta negara-negara ASEAN.

“Lebih baik (penganjuran) pada tahun ni, tetapi sebagaimana pada tahun lepas, hujan lebat hingga saat ini.

“Tahun hadapan kita akan tingkatkan untuk maraton penuh. Mudah-mudahan lebih ramai lagi akan menyertainya dan kita berdoa supaya ketika itu tidak hujan,” katanya.

Acara larian berkenaan mempertandingkan tiga kategori jarak dengan kategori 5 kilometer (km) merekodkan penyertaan terbesar iaitu 759 peserta (44.6 peratus), diikuti 575 peserta kategori 21km (33.8 peratus) dan kategori 10km sebanyak 366 peserta (21.5 peratus).