SINTOK, 25 Okt — Sebanyak 17,732 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan terhadap individu berkaitan membuang sampah kecil di tempat awam dan jalan awam di negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) setakat 22 Okt lepas.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Syahrul Nizam Saleh berkata 2,695 notis daripadanya melibatkan di Kedah manakala dalam tempoh sama sebanyak 295 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan di negeri ini.
Beliau berkata pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] (Pindaan) 2025 yang berkuat kuasa 1 Jan lepas memperkukuh penguatkuasaan menerusi peruntukan denda sehingga RM2,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga maksimum 12 jam bagi kesalahan berkaitan.
“Keberkesanan penguatkuasaan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah notis dikeluarkan, sebaliknya melalui pengurangan kesalahan dan perubahan sikap masyarakat terhadap kebersihan awam,” katanya pada Program Jelajah Bandar Bersih Negeri Kedah 2026 Edisi Kubang Pasu di sini hari ini.
Syahrul Nizam berkata SWCorp turut memberi penekanan kepada transformasi sistem pengurusan sisa daripada pendekatan konvensional berasaskan kutipan dan pelupusan kepada pengurusan sumber yang lebih cekap, bersepadu dan mempunyai nilai ekonomi.
Beliau berkata kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, industri, institusi pengajian tinggi dan komuniti penting bagi memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan secara lebih cekap, sistematik dan mampan.
“Bagi memperkukuh usaha itu, SWCorp antaranya menganjurkan Program Jelajah Bandar Bersih Negeri Kedah 2026 yang menumpukan kepada pembudayaan kebersihan, amalan ekonomi kitaran serta penglibatan masyarakat dalam pengurusan sisa pepejal.
“Hari ini lokasi terlibat ialah Majlis Perbandaran Kubang Pasu serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam, dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia melaksanakan inisiatif kesedaran melalui pemasangan papan tanda dwibahasa dan pelekat informasi mengenai kesalahan membuang sampah kecil,” katanya.
Syahrul Nizam berkata program berkenaan turut melibatkan lawatan ke Kompleks Darul Qiyam bagi meninjau pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat sebagai instrumen pendidikan, pemulihan dan pembentukan disiplin terhadap pesalah kebersihan awam.
Beliau berkata usaha membudayakan kebersihan memerlukan kerjasama berterusan semua pihak dan tidak seharusnya terhenti sebagai aktiviti bermusim, sebaliknya perlu dijadikan amalan harian demi mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan lestari.














Tinggalkan Balasan