IPOH, 26 Okt — Sebanyak 19 kru sebuah kapal korek pasir terselamat selepas kapal itu tenggelam kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, dekat Kuala Kurau, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan pada 5.53 pagi, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 6.30 pagi.
Beliau berkata operasi itu melibatkan aset APMM, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238 dengan bantuan komuniti maritim di sekitar kawasan kejadian.
“Sembilan kru berjaya diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala sembilan lagi kru di dalam rakit penyelamat berjaya diselamatkan oleh MV VIVO DIYA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kesemua 18 kru itu dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan selanjutnya, manakala seorang lagi kru warga China yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot PERKASA 1238.
Zainudin berkata mangsa kemudian dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Beliau berkata operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada 4.30 petang.
“APMM mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk memastikan jaket keselamatan dipakai dengan betul serta peralatan keselamatan dalam keadaan baik.
“Persediaan awal seperti ini amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata sebarang laporan, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerusi talian 011-3525 9919 bagi membolehkan tindakan segera diambil.














Tinggalkan Balasan