1,314 Ditahan Dalam Protes Di Seluruh Perancis Pada 24 Okt

BRUSSELS, 25 Okt — Pihak berkuasa Perancis menahan 1,314 individu semasa tunjuk perasaan di seluruh negara pada Sabtu, manakala 53 anggota keselamatan cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Kementerian Dalam Negeri Perancis pada Ahad.

Angka berkenaan menunjukkan penurunan ketara berbanding hari pertama perhimpunan pada 17 Okt, menyaksikan 2,628 individu ditahan dan 1,144 anggota pasukan keselamatan cedera, lapor penyiar BFMTV.

Menurut kementerian itu, seramai 410,000 orang menyertai tunjuk perasaan pada Sabtu di seluruh Perancis, termasuk 110,000 di Paris.

Bagaimanapun, kesatuan sekerja menganggarkan kehadiran di seluruh negara mencecah hampir 800,000 orang, dengan 250,000 penunjuk perasaan berada di ibu negara.

Kementerian memaklumkan 24 premis perniagaan dirompak semasa tunjuk perasaan itu berbanding 1,522 premis seminggu sebelumnya, menunjukkan penurunan lebih 98 peratus.

Ia turut melaporkan 75 operasi berkaitan kebakaran turut dilaporkan, berbanding 2,025 kes pada 17 Okt.

Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez menyifatkan keputusan keseluruhan tunjuk perasaan pada Sabtu sebagai positif, dengan menyatakan langkah keselamatan telah membantu mengelakkan kejadian rompakan secara meluas dan kerosakan pada bangunan awam.

Di Marseille, seramai 71 individu, termasuk 40 orang dewasa, ditahan semasa tunjuk perasaan pada Sabtu.

Seramai 61 individu direman polis, manakala tujuh premis perniagaan dirompak atau dirosakkan.

Datuk Bandar Marseille Benoit Payan menyifatkan tunjuk perasaan itu sebagai “aman,” walaupun berlaku insiden kecil pada penghujung perarakan berkenaan.

Beliau berkata keadaan adalah jauh lebih tenang berbanding semasa tunjuk perasaan pada 17 Okt, apabila beberapa premis perniagaan dirompak di bandar raya berkenaan.

Di Paris, seramai 142 individu ditahan, termasuk 126 yang direman polis, menurut pihak berkuasa polis.

Dua premis perniagaan mengalami kerosakan, yang satu daripadanya turut dirompak, manakala polis menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki sebuah lagi premis.

Sementara itu, seorang individu mengalami kecederaan parah pada tangan semasa tunjuk perasaan di Clermont-Ferrand, walaupun pihak berkuasa mengesahkan tiada kecacatan atau kehilangan jari.

Seorang lagi individu cedera parah pada tangan semasa tunjuk perasaan di Toulouse.