Pembinaan Politeknik AI Di Lumut Dimasukkan Di Bawah RMK13 Rolling Plan 3 – Zambry

LUMUT, 25 Okt — Cadangan pembinaan politeknik baharu khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di Lumut, telah dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rancangan Boleh Pinda 3, dengan kerja-kerja awal termasuk semakan permohonan, perbelanjaan dan peruntukan dijangka bermula tahun depan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu, merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk merealisasikan pembangunan institusi pendidikan tinggi berkenaan, yang akan memberi tumpuan kepada bidang AI serta bidang teknikal lain.

Beliau berkata beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai tapak berpotensi, bagi pembinaan politeknik tersebut antaranya di Segari dan Lekir yang berada di daerah Manjung.

“Semakan awal akan dibuat bermula tahun depan termasuk dari segi permohonan, perbelanjaan dan peruntukan. Kita juga telah mula mengenal pasti beberapa tapak untuk dijadikan politeknik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Kolej Komuniti Manjung, Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Zambry berkata politeknik itu dirancang untuk menawarkan tumpuan khusus dalam bidang AI di samping bidang teknikal lain, selaras keperluan pembangunan kemahiran dan tenaga kerja dalam sektor teknologi.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata penubuhan PSH Excellence Pangkor merupakan satu langkah strategik merapatkan jurang akses kepada latihan kemahiran di samping memperkukuh hubungan antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan komuniti setempat.

“Saya berharap pusat ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan yang mampu menyumbang secara langsung kepada kemajuan ekonomi Pulau Pangkor. 

“Kita mahu masyarakat setempat bukan sekadar menjadi pemerhati kepada pertumbuhan sektor pelancongan, tetapi turut menjadi tenaga kerja mahir, pengusaha dan peneraju perniagaan yang menikmati manfaat daripada pertumbuhan tersebut,” katanya.

Pada 3 Ogos tahun lepas, media melaporkan sebuah politeknik baharu yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang AI akan dibina di Lumut, sebagai usaha memperkasakan sistem TVET negara sejajar dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.