KOTA KINABALU, 26 Okt — Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan memperkukuh penyelarasan antara agensi berkaitan bagi memastikan bekalan daging ayam serta telur ayam di negeri itu kekal stabil dan dapat diperoleh pengguna pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu melibatkan penyelarasan aspek pengeluaran, pengedaran, pemantauan harga dan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang isu yang menjejaskan rantaian bekalan dapat ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia Sabah di sini hari ini.
“Mesyuarat ini meneliti kedudukan bekalan dan harga ayam serta telur ayam di Sabah, di samping membincangkan penyelarasan tindakan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Ini termasuk memperkukuh peraturan yang berkaitan, di samping meneliti aspek kawal selia pengeluaran dan pengedaran bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Armizan berkata penyelarasan itu turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing.
Beliau berkata kerjasama antara agensi itu penting bagi memastikan isu di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani seiring dengan pemantauan harga serta tindakan penguatkuasaan.
Selain itu, penyelarasan berkenaan akan menjadi asas kepada pembentukan mekanisme lebih berkesan dalam menangani isu bekalan, harga dan telur ayam menerusi perkongsian maklumat, pembahagian tanggungjawab yang jelas serta tindakan susulan yang berkesan.
Beliau berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan terus diperkukuh bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat di Sabah kekal terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar serta wakil jabatan dan agensi berkaitan.













Tinggalkan Balasan