KUALA LUMPUR, 26 Okt — Perbelanjaan Program Jalan Luar Bandar (JALB) bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM6.108 bilion, masih di bawah peruntukan dipinda sebanyak RM6.143 bilion, dengan baki kira-kira RM34.3 juta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dakwaan bahawa kementerian itu terlebih belanja sebanyak RM2.1 bilion timbul apabila perbelanjaan sebenar dibandingkan dengan peruntukan asal, tanpa mengambil kira penyelarasan peruntukan yang diluluskan.
Katanya, jumlah peruntukan asal JALB bagi tempoh berkenaan ialah kira-kira RM3.982 bilion, manakala peruntukan dipinda meningkat kepada RM6.143 bilion selepas penyelarasan.
“Kita perlu jelas tentang apa yang ditunjukkan oleh angka ini. Perbezaan RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal itu bukan dengan sendirinya bukti wang hilang, ketirisan atau penyelewengan. Penyelarasan peruntukan ini juga berlaku di kementerian- kementerian lain,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata setakat 30 Sept lepas, JALB melibatkan 415 projek pada pelbagai peringkat pelaksanaan dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion.
Beliau berkata jumlah itu merupakan kos keseluruhan projek yang dilaksanakan merentas beberapa tahun dan bukannya jumlah yang perlu dibayar dalam satu tahun, kerana pembayaran dibuat secara berperingkat mengikut kemajuan kerja serta tuntutan yang disahkan.
“Bagi 2026, perbelanjaan JALB sehingga 30 Sept berjumlah kira-kira RM2.48 bilion, berbanding peruntukan dipinda sebanyak RM3.02 bilion, iaitu sekitar 82.1 peratus,” katanya.
Ahmad Zahid berkata projek jalan luar bandar lazimnya mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan, justeru kos keseluruhan projek juga perlu dibezakan daripada keperluan pembayaran bagi sesuatu tahun.
Beliau berkata apabila kemajuan kerja lebih cepat daripada jangkaan atau tuntutan bagi projek terdahulu yang telah disahkan perlu diselesaikan, peruntukan tahunan perlu diselaraskan bagi memenuhi keperluan pembayaran berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pertambahan keperluan peruntukan tidak bermakna kementerian boleh sewenang-wenangnya menambah peruntukan atau membuat pembayaran tanpa melalui prosedur ditetapkan.
“Setiap penyelarasan perlu melalui mekanisme Notice of Change (NOC) serta pindahan peruntukan, mengikut jenis perubahan dan kelulusan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata proses itu melibatkan Pegawai Pengawal KKDW, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing, manakala kelulusan serta pelarasan direkodkan melalui sistem kerajaan termasuk MyProjek dan iGFMAS.
Pembayaran, katanya, hanya diproses selepas peruntukan disalurkan dan tersedia, berdasarkan tuntutan serta pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita boleh berbeza pandangan dalam politik tetapi jangan sesekali kita mengelirukan rakyat dalam tatacara perolehan kerajaan, apatah lagi terlepas pandang tujuan asal program JALB ini, iaitu menyediakan jalan untuk rakyat luar bandar.
“Saya berharap penjelasan hari ini membolehkan kedudukan JALB dinilai secara menyeluruh. Peruntukan asal, peruntukan dipinda, perbelanjaan sebenar dan komitmen kontrak perlu dibaca bersama supaya kesimpulan yang dibuat berpijak pada fakta, bukan fitnah,” katanya.














Tinggalkan Balasan