WCB/PSK Rampas Produk Kesihatan, Kosmetik Dan Barangan Tiruan Bernilai RM765,750

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman merampas 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM765,750 dalam serbuan di sebuah premis syarikat kurier di sini, hari ini.

Komander WCB/PSK Datuk Mohd Zaki Ashar berkata serbuan pada 10.50 pagi itu dijalankan menerusi operasi bersepadu dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai produk yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM765,750.

“Premis syarikat kurier dan logistik itu disyaki digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran produk kesihatan, kosmetik serta barangan berjenama yang dipercayai tidak mematuhi keperluan undang-undang berkaitan.

“Dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 9,130 produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM, selain 127 barangan berjenama yang disyaki menggunakan cap dagangan tiruan.

Mohd Zaki berkata daripada jumlah keseluruhan rampasan itu, produk kesihatan dan kosmetik dianggarkan bernilai RM734,000 diambil tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, manakala barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM31,750 diambil tindakan oleh KPDN.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(A), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 18A dan Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

“Kedua-dua lelaki warga asing itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata, dari 1 Januari hingga hari ini, pihaknya melaksanakan 286 serbuan di seluruh negara dan menahan 467 individu atas pelbagai kesalahan, termasuk penyeludupan barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta kegiatan berkaitan sisa elektronik (e-waste).

“Bagi tempoh sama, nilai keseluruhan rampasan yang direkodkan dianggarkan berjumlah RM335,963,935.42,” katanya.