KUALA LUMPUR, 27 Okt — Isu Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, kesesakan di hospital kerajaan dan langkah memperkukuh pemetaan risiko bencana di Malaysia antara perkara yang dijadualkan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) meminta Menteri Kesihatan untuk menyatakan komitmen agar draf Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dibentangkan untuk bacaan kali pertama sebelum akhir 2027, selaras aspirasi reformasi Kertas Putih Kesihatan 2023.
Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pula bertanya kepada Menteri Kesihatan mengenai isu kesesakan berterusan di Jabatan Kecemasan, termasuk purata tempoh menunggu pesakit serta langkah konkrit mengatasi kesesakan agar pesakit tidak terus menunggu lama dan mendapat rawatan.
Turut disenaraikan ialah pertanyaan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) yang meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan langkah kerajaan dalam memperkukuh pemetaan risiko bencana di Malaysia serta bagaimana data risiko terkini dimanfaatkan untuk sistem amaran awal, perancangan pembangunan serta tindakan kesiapsiagaan.
Sementara itu, Tan Kok Wai (PH-Cheras) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah serta senarai terperinci projek yang telah direalisasikan daripada komitmen pelaburan berjumlah USD10 bilion oleh Geely di Tanjung Malim.
Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan penangguhan penguatkuasaan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) serta penilaian kerajaan bagi penubuhan semula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta Perdana Menteri menyatakan rasional kerajaan melibatkan jabatan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula minta Perdana Menteri menyatakan formula dan kriteria yang diambil kira kerajaan dalam menentukan jumlah agihan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada Ahli-Ahli Parlimen.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.













Tinggalkan Balasan