Import, Eksport Wilayah Tengah China Catat Rekod Baharu

Perdagangan luar di wilayah tengah China mencatatkan pertumbuhan yang lebih seimbang dan stabil apabila nilai import dan eksport mencecah 3.43 trilion yuan (RM2.1 trilion) pada tiga suku pertama tahun ini.

Angka itu meningkat 20.5 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam sejarah bagi tempoh sama.

Industri pembuatan peralatan merupakan tonggak utama yang menyokong pertumbuhan eksport di wilayah tengah China, dengan produk berteknologi tinggi menunjukkan prestasi cemerlang.

Berdasarkan data rasmi, wilayah berkenaan menyumbang satu pertiga kepada keseluruhan eksport kenderaan elektrik China.

Pada masa yang sama, import di wilayah tengah China mencatat pertumbuhan dua digit selama 11 bulan berturut-turut.

Dalam tempoh Januari hingga September, perdagangan antara bahagian tengah China dengan lebih 150 negara dan wilayah di dunia turut menyaksikan pertumbuhan positif.

Antaranya, import dan eksport menyasar entiti ekonomi APEC lain melepasi paras dua trilion yuan (RM1.22 trilion) buat pertama kali bagi tempoh yang sama dalam sejarah.

Sementara itu, pelbagai rangkaian pengangkutan rentas sempadan seperti rel kargo China-Eropah, ‘laluan air emas’ Sungai Yangtze dan perkhidmatan kargo udara antarabangsa terus dioptimumkan menerusi pengangkutan multimod, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan kukuh perdagangan luar di wilayah berkenaan.