PUTRAJAYA, 27 Okt — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Nov depan bagi membincangkan tarikh penting dan perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun, sebelum satu sidang media diadakan sejurus selesai mesyuarat itu.
“Mesyuarat akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak ke-13 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini daripada Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar melalui surat berhubung pembubaran DUN Sarawak Ke-19 sebagaimana termaktub di bawah Perkara 21 (2) Perlembagaan Negeri Sarawak berkuat kuasa semalam.
“Berdasarkan Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt bagi memberi laluan kepada PRN Sarawak ke-13.















Tinggalkan Balasan