Jenayah Siber: Polis Sahkan 130 Rakyat Malaysia Ditahan Di Pakistan – KPN

KUALA LUMPUR, 31 Okt — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 130 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi, baru-baru ini berhubung penglibatan mereka dalam sindiket jenayah siber.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara berkenaan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai penahanan kesemua individu itu.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk tindakan susulan selain pasukan penyiasat berkemungkinan akan dihantar ke Pakistan bagi meneliti perkembangan siasatan secara menyeluruh.

“Ada antara mereka (rakyat Malaysia ditahan) mempunyai visa dan ada yang telah tamat tempoh.

“Kerajaan Pakistan membantu kita sebaik mungkin bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan sewajarnya. Pihak JSJK akan meneruskan komunikasi dengan pihak berkuasa di sana,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia 2026 di sini malam tadi.

Ditanya mengenai identiti kesemua individu ditahan, Mohd Khalid berkata senarai penuh profil individu terbabit belum diperoleh, namun mereka disahkan sebagai pemegang pasport Malaysia yang merangkumi pelbagai kaum.

Semalam, media Pakistan melaporkan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA) menyerbu sebuah pusat panggilan penipuan dalam talian di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, Rawalpindi.

Serbuan itu membongkar operasi pusat penipuan kewangan yang menyasarkan mangsa di Malaysia menerusi penyamaran sebagai pegawai khidmat pelanggan bank dan pegawai polis lengkap berpakaian seragam bagi mengugut mangsa dengan dakwaan aktiviti pengubahan wang haram.

Siasatan pihak berkuasa Pakistan mendapati wang hasil penipuan dipindahkan melalui e-dompet sebelum ditukar kepada mata wang kripto, dengan sindiket dipercayai didalangi oleh seorang rakyat Malaysia yang beroperasi dari Kemboja dengan kerjasama seorang warga China.

Kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016 serta peruntukan Kanun Keseksaan berkaitan pemerasan, penyamaran, penipuan dan persubahatan.