KOTA BHARU, 31 Okt — Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak campur tangan dalam keputusan mengembalikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya hanya berperanan memberi pandangan dari segi undang-undang tetapi isu berkenaan Mohd Shuhaily itu adalah urusan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kami belum beri pandangan secara rasmi sebab ia belum dirujuk kepada pihak AGC, cuma ini tindakan pentadbiran oleh pihak KDN, jadi itu kita tidak campurlah.
“Sama ada Datuk Mohd Shuhaily mahu kekal di situ atau pun nak ditukarkan balik ke PDRM itu kita tidak campur tangan…itu lebih kepada soal pentadbiran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penyerahan Prasarana Rekreasi KAM AGC 2026 di Taman Pinggiran Warisan, Kampung Kok Lanas di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Mohd Shuhaily kembali bertugas dengan PDRM selepas keputusan terhadapnya diputuskan pada minggu lepas.
Sementara itu, dalam perkembangan berhubung pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Mohd Dusuki berkata pihaknya sedang merangka satu peruntukan berkaitan kaedah pemilihan calon tersebut.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memberi tempoh dua minggu kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk memperincikan maklum balas mengenai cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan bermesyuarat semula selepas menerima pandangan berhubung perkara tersebut.














Tinggalkan Balasan