“Mimpi Ngeri” Perpindahan Dalam Kebimbangan Penghapusan Etnik Di Gaza – Pejabat PBB

LONDON, 31 Okt — Penyempitan berterusan ruang hidup penduduk Palestin menjadi “mimpi ngeri” baharu perpindahan di Gaza, menurut pejabat hak kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, yang turut menyifatkan keadaan itu sebagai “serius dan sangat teruk”, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) dalam kenyataan, tentera Israel terus mendorong penduduk Palestin ke kawasan yang lebih kecil di Semenanjung Gaza sambil memusnahkan infrastruktur awam dan menyerang tapak perpindahan “di tengah-tengah kebimbangan mengenai penghapusan etnik.”

Menurut agensi ituu, penyempitan ruang kehidupan yang berterusan telah menyebabkan perpindahan baharu di kawasan bersebelahan sempadan “garisan kuning”.

“Sejak dua minggu lepas, OHCHR mendokumentasikan perluasan kawasan penempatan tentera Israel ke arah barat di Al Shujaiyeh, Bandar Gaza dan di tiga lokasi di Gaza Tengah iaitu timur Al Bureij, timur Deir Al-Balah dan timur Al Maghazi,” menurut kenyataan itu.

OHCHR memaklumkan pihaknya menerima laporan bahawa pada 25 Okt, sebuah dron Israel menjatuhkan peluru ke atas khemah yang melindungi keluarga pelarian di persimpangan Al Shujaiyeh berhampiran garisan kuning dan kebakaran akibat serangan itu berlarutan selama lima jam.

200 keluarga terdiri daripada 800 orang semuanya yang kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan orang tua kehilangan tempat berlindung, menurut Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Palestin.

“Mimpi ngeri perpindahan di Gaza adalah serius dan sangat teruk,” kata Ajith Sunghay, ketua Hak Asasi Manusia PBB di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Sunghay menambah: “Mereka yang dipindahkan sebelum pengumuman gencatan senjata mempunyai sedikit atau tiada prospek untuk kembali ke kawasan asal mereka melarikan diri, kebanyakannya tidak dapat diakses kerana melepasi garisan kuning yang ditetapkan. Dan mereka terus-terusan berada dalam pelarian.”

OHCHR mengulangi bahawa sebagai kuasa penjajah, Israel mesti menghentikan pemindahan paksa rakyat Palestin di dalam Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa ini ialah jenayah perang yang boleh menjadi jenayah terhadap kemanusiaan.

“Israel juga mesti memudahkan rakyat Palestin pulang dengan selamat dan bermaruah ke rumah mereka dan kawasan asal mereka,” menurut agensi itu.

OHCHR juga memberi amaran bahawa tentera Israel kelihatan menganggap garis kuning sebagai “zon membunuh,” menghalang rakyat Palestin daripada kembali ke runtuhan rumah mereka di seberang garisan itu.

“Perlu ada pengakhiran kepada penderitaan ini. Ini tahun keempat perpindahan bagi kebanyakan rakyat Palestin di Gaza, musim sejuk keempat di dalam khemah terlalu tipis untuk menahan hujan, dan mereka masih diserang ketika mengharungi semua itu,” tambah Sunghay.