Anwar Hargai Kunjungan Duta Rusia Ke Hospital Bukit Mertajam

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov atas kunjungan beliau ke Hospital Bukit Mertajam di Pulau Pinang, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata kunjungan itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan, pengalaman serta kepakaran khususnya bagi memperluas kerjasama dalam bidang kesihatan antara Malaysia dan Rusia.

“Saya yakin kedua-dua negara dapat memanfaatkan hubungan akrab Malaysia-Rusia yang pastinya akan diterjemahkan secara konsisten di dalam pelbagai lapangan lain yang berkepentingan,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Hospital Bukit Mertajam atas sambutan serta komitmen yang diberikan.

Semalam, Latypov ketika lawatan itu berkata Rusia berhasrat memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang perubatan dan pendidikan termasuk memperluas peluang rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di negara berkenaan.