KUANTAN, 3 Nov — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah nama istana bukan barang dagangan dan gelaran kebesaran bukan lesen untuk meraih keuntungan atau kepentingan peribadi.
Baginda bertitah setiap gelaran membawa amanah serta tanggungjawab yang perlu dipelihara.
Al-Sultan Abdullah memberi teguran tegas itu kepada seluruh kerabat dan orang besar negeri supaya tidak menyalahgunakan nama, gelaran, kedudukan mahupun hubungan dengan istana, termasuk mendakwa memperoleh perkenan baginda bagi memperdaya pihak tertentu demi kepentingan sendiri.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti menyalahgunakan nama institusi Kesultanan Pahang. Tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira pangkat, gelaran mahupun pertalian kekeluargaan.
“Janganlah gelaran yang diwarisi berabad-abad lamanya hanya menjadi kebanggaan pada nama, sedangkan amanah dan tanggungjawabnya semakin dilupakan,” titah baginda semasa Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-121 di ibu negara hari ini yang dimuat naik menerusi portal rasmi Istana Pahang.
Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah pemerintahan Pahang bermula 556 tahun lepas memperlihatkan peranan penting Raja, Bendahara, Orang Besar dan kerabat diraja dalam membentuk sistem pemerintahan negeri yang tersusun sejak berabad-abad lamanya.
Bagaimanapun, perubahan sistem pemerintahan kepada pentadbiran moden bermakna urusan kerajaan hari ini dilaksanakan melalui Menteri Besar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri serta seluruh jentera perkhidmatan awam, tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
Justeru, Sultan Pahang bertitah bahawa gelaran kebesaran dan kedudukan kerabat tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, golongan pembesar dan kerabat bergelar perlu terus memainkan peranan melalui kebijaksanaan, kesetiaan, keteladanan serta khidmat kepada rakyat, di samping memelihara adat istiadat, menjunjung kedaulatan Raja dan menjaga keharmonian masyarakat.
Baginda turut menegaskan bahawa amanah yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak seharusnya sekadar menjadi kebanggaan pada nama, sebaliknya perlu diteruskan melalui tindakan yang mencerminkan kemuliaan institusi Kesultanan Pahang.
“Biar zaman dan generasi silih berganti, namun maruah Kesultanan Pahang tetap terpelihara, adatnya terus dijunjung, kedaulatannya terus dipertahankan dan rakyatnya sentiasa dinaungi dengan keadilan serta kasih sayang,” titah baginda.














Tinggalkan Balasan