Nahas Tren: Menteri Pengangkutan Sepanyol Letak Jawatan

MADRID, 4 Nov — Menteri Pengangkutan Sepanyol Oscar Puente meletak jawatan pada Selasa, hampir seminggu selepas 69 orang maut dalam perlanggaran membabitkan sebuah tren berkelajuan tinggi dengan sebuah lagi tren di perbandaran Urda, Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Puente membuat pengumuman mengejutkan itu pada akhir sesi pendengarannya di hadapan sebuah jawatankuasa Parlimen di sini.

Pada malam yang sama, beliau turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen awal pada 29 Nov ini.

Peletakan jawatan itu, yang dituntut oleh semua parti pembangkang, mengejutkan banyak pihak memandangkan Puente dan Perdana Menteri Pedro Sanchez beberapa kali menolak kemungkinan berkenaan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Seorang menteri tidak boleh terus memegang jawatan selepas dua kemalangan seteruk ini berlaku dalam tempoh kurang setahun,” kata Puente.

“Ini adalah soal maruah politik, ketekalan pendirian dan empati politik.”